Monday 14 April 2014

HEBAT.....PERTANDINGAN MEWARNA KANAK-KANAK TABIKA KEMAS PARLIMEN BATU GAJAH DI KARNIVAL FIESTA MESRA BELIA





BATU GAJAH - Karnival Fiesta Mesra Belia 1 Malaysia Daerah Kinta telah di adakan pada 12 - 13 April 2014 bertempat di Arena Square, Batu Gajah.Bersempena dengan karnival ini, satu pertandingan mewarna telah di adakan bagi kanak-kanak TABIKA KEMAS Parlimen Batu Gajah.




Seramai 100 orang kanak-kanak tabika yang terdiri daripada 22 buah kelas TABIKA KEMAS di dalam Parlimen Batu Gajah mengambil bahagian dalam pertandingan ini.Pertandingan ini di adili oleh 3 orang hakim yang merupakan guru sekolah rendah iaitu Encik Shafari Bin Taib ( Guru di S.K. Sri Jaya ), Encik Mohd Ramizu Bin Ab Rahim ( Guru di S.K. Sri Jaya ) dan Puan Halijah Binti Abdul Rahman ( Guru di S.K. Sultan Yusoff ). 

Perasmian Karnival Mesra Belia 1 Malaysia Daerah Kinta ini di sempurnakan oleh Y.B. Datuk Shahrul Azman Bin Yahya, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Negeri Perak yang hadir bersama isterinya.Karnival ini turut di meriahkan lagi dengan kehadiran Dato' Hj Jamry Bin Hj Sury, iaitu Pegawai Daerah Kinta, Ketua-Ketua Jabatan, Penghulu-Penghulu Mukim dan ramai lagi.
          

Pertandingan mewarna kanak-kanak TABIKA KEMAS Parlimen Batu Gajah ini di menangi oleh adik Nurhana Alifah Binti Mohd Izrail dari Tabika KEMAS Bemban Raya B.Tempat kedua pula di menangi oleh adik Nur Adlina Husna Binti Mohd Aminullah dari Tabika KEMAS Penjara B.Manakala tempat ketiga di menangi oleh adik Nurul Airin Binti Ahmad Baba dari Tabika KEMAS Impiana Adril.Ketiga-tiga pemenang ini menerima hadiah berupa sebuah basikal.

Thursday 10 April 2014

GST WAJAR DI ALU-ALUKAN

Dilema rakyat Malaysia pada ketika ini mengenai sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan atau GST banyak dipengaruhi oleh kekurangan maklumat atau maklumat salah yang disalurkan untuk pemahaman mereka. Kebanyakan maklumat mengenai GST yang ada pada ketika ini pula terlalu bersifat teknikal serta sukar difahami oleh golongan rakyat terbanyak terutamanya masyarakat di luar bandar. Dek kerana itulah, apabila GST semakin menjadi topik perbahasan harian rakyat, maka risiko jurang salah faham menjadi semakin membesar.

Secara umumnya pemahaman rakyat Malaysia mengenai cukai dan peranannya kepada negara masih lagi di tahap yang rendah. Kebanyakan masyarakat masih tidak menyedari bahawa pada masa sekarang mereka telah pun dikenakan cukai kepenggunaan di dalam perbelanjaan mereka iaitu dalam bentuk Cukai Jualan (5%, 10% atau kadar spesifik) dan Cukai Perkhidmatan (6% atau kadar spesifik). Elemen kedua-dua cukai ini telah pun diserap ke dalam harga jualan setiap barangan kecuali Cukai Perkhidmatan yang dikenakan di peringkat pengguna akhir seperti di kedai-kedai makanan, kawasan pakir kereta berdaftar dan yuran perkhidmatan professional. Apabila GST dilaksanakan pada kadar enam peratus pada 1 April 2015, kedua-dua Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan akan dimansuhkan serentak. 

Rasional pelaksanaan GST

Tujuan utama GST diperkenalkan di Malaysia adalah untuk menangani kelemahan yang terdapat di dalam sistem Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan sedia ada. Antaranya seperti ketirisan hasil kerajaan akibat daripada aktiviti penyeludupan, pemindahan harga serta manipulasi sumber yang sering berlaku di peringkat peniaga. Dengan erti kata lain, pada masa kini, terdapat peniaga yang memulangkan cukai kepada kerajaan kurang daripada jumlah yang mereka pungut dari pelanggan mereka. Kelemahan-kelemahan ini sukar di atasi oleh pihak berkuasa kerana terdapat ruang-ruang (loopholes) pada sistem Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan yang mudah dimanfaatkan oleh peniaga yang tidak bertanggungjawab. 

Masyarakat pengguna juga harus mengetahui bahawa GST tidak berperanan sebagai kos di dalam proses pengeluaran di mana-mana peringkat peniaga. Ini sama sekali berbeza dengan mana layanan perakaunan yang diberikan kepada Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan pada ketika ini, di mana kedua-dua cukai lapuk ini merupakan kos yang mempengaruhi penetapan harga barang dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh peniaga. Dengan pelaksanaan GST dan pemansuhan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan, peniaga tiada lagi alasan cukai sebagai beban yang menekan mereka untuk menaikkan harga. Jika sistem Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan tetap dilaksanakan oleh kerajaan, maka pengguna akan terus menjadi mangsa dan terperangkap di dalam situasi cukai bertindih yang wujud di dalam harga barang dan perkhidmatan di pasaran.

Kebanyakan ahli-ahli ekonomi tidak menafikan bahawa GST boleh menyebabkan kadar inflasi negara akan meningkat secara one-off atau sekali sahaja pada masa awal pelaksanaannya. Jangkaan ini berdasarkan pengalaman negara-negara terdahulu yang melaksanakan GST (juga dikenali sebagai Value Added Tax (VAT) di kebanyakan negara lain) di mana berlakunya reaksi kejutan pasaran apabila peniaga akan menaikkan harga dan pengguna pula panik dengan perubahan harga. Walau bagaimanapun, kekeliruan dalam pasaran semasa tempoh awal pelaksanaan GST adalah bersifat sekali sahaja. Pasaran dijangka kembali selesa serta stabil apabila pengguna dan peniaga mula memahami mekanisme sebenar GST, manakala kerajaan pula melaksanakan tanggungjawabnya untuk mengimbangi pasaran dengan sempurna.

Pihak-pihak yang mempersoalkan keputusan kerajaan untuk melaksanakan GST perlu menerima hakikat bahawa GST adalah satu keperluan ekonomi yang tidak dapat dielakkan. Kebanyakan ahli ekonomi bersependapat bahawa GST adalah kaedah penyelesaian sumber yang paling berkesan dan berdaya tahan terhadap situasi turun naik ekonomi global. Ekonomi pula digerakkan sendiri oleh masyarakat pengguna melalui permintaan dan masyarakat peniaga melalui penawaran. Dengan adanya GST, saluran serta kaedah komunikasi antara pengguna, peniaga dan kerajaan akan terdorong untuk menjadi lebih efektif, telus, efisyen dan mesra.

Dalam pada itu, pelaksanaan GST juga amat penting kepada kerajaan dalam usaha untuk memacu Malaysia ke arah mencapai status negara berpendapatan tinggi dan maju pada tahun 2020. Untuk tujuan itu, Malaysia perlu berada dalam landasan ekonomi yang mampan dan berdaya saing di peringkat domestik dan global. GST adalah salah satu instrumen ekonomi yang akan merangsang sektor swasta untuk tumbuh aktif serta menggalakkan nilai perdagangan dan pelaburan langsung asing di samping mambawa aliran positif kepada pasaran modal insan. Untuk rekod, Kerajaan menjangkakan bahawa sasaran pendapatan perkapita rakyat Malaysia sebanyak AS$15,000 akan dapat dicapai sebelum 2020.

Menangani kesan GST 

Kerajaan pastinya sedar bahawa rakyat terbanyak amat bergantung harap terhadap kerajaan dalam menangani isu kenaikan harga barang dan perkhidmatan. Justeru itu, dalam persiapan menghadapi GST, kerajaan perlu memberikan perhatian yang khusus kepada para peniaga supaya mereka tidak mengambil kesempatan ke atas pengguna dengan menafikan hakikat bahawa setiap barang dan perkhidmatan mempunyai ruang untuk dikurangkan harga di era GST. Kerajaan perlu menggerakkan usaha penguatkuasaan yang efektif untuk memastikan peniaga patuh dengan pemansuhan eleman Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan di dalam harga barang dan perkhidmatan di seluruh peringkat kitaran pembekalan (supply chain). Dengan langkah penguatkuasaan yang tegas, peniaga tidak boleh berselindung di sebalik GST untuk menaikkan harga secara tidak wajar. 

Kepada masyarakat pengguna pula, berikut adalah panduan ringkas yang boleh digunakan untuk menghadapi GST kelak:

1. Menyediakan rancangan perbelanjaan bulanan

Senaraikan perbelanjaan tetap yang berulang setiap bulan seperti bayaran ansuran kereta, rumah, insuran, bil-bil utiliti, yuran pendidikan, barangan keperluan dapur, perbelanjaan peribadi dan sebagainya. Bahagikan senarai perbelanjaan tadi kepada dua bahagian iaitu bahagian yang tidak tertakluk kepada GST dan bahagian yang tertakluk kepada GST. Pastikan alokasi wang untuk perbelanjaan tetap didahulukan dan kawal baki pendapatan untuk mengelakkan daripada berbelanja ke atas barang atau perkhidmatan bukan keperluan yang tertakluk kepada GST. 

2. Berbelanja di kedai yang berdaftar GST

Pengguna digalakkan berbelanja di kedai-kedai yang berdaftar sebagai kedai GST terutamanya di pasaraya-pasaraya besar yang setiap hari bersaing harga dengan pesaing-pesaing mereka. Selain mendapat manfaat harga rendah, pengguna juga dapat berlajar untuk membiasakan diri dengan sistem dan mekanisme sebenar GST. Saranan ini juga adalah bagi melindungi pengguna daripada peniaga yang tidak bertanggungjawab yang menaikkan harga semasa era GST. 

3. Berbelanja semasa musim promosi potongan harga 

Di Malaysia, seringkali promosi potongan harga seperti “Jualan Mega” dan “Hari Untuk Ahli” dilakukan oleh para peniaga sama ada untuk promosi harian, mingguan, bulanan atau tahunan. Pengguna boleh mengambil kesempatan dengan berbelanja pada musim promosi dengan harga yang murah dan menjimatkan.

4. Membuat simpanan untuk pelaburan

Setiap individu digalakkan membuat simpanan bagi lebihan pendapatan sekiranya ada. Simpanan boleh dibuat di bank, melabur di dalam amanah saham atau membeli pelindungan insuran. Simpanan untuk pelaburan mampu meminimumkan kesan GST ke atas pendapatan individu di samping memberikan pulangan positif jangka panjang seperti memperoleh keuntungan simpanan, gandaan dividen dan perbelanjaan kesihatan yang dijamin.

5. Aktifkan persatuan pengguna

Para pengguna disaran untuk bersatu dan memberikan sokongan kepada persatuan-persatuan pengguna untuk aktif membela dan mempertahankan hak setiap pengguna di seluruh pelusuk daerah di Malaysia. Semasa era GST kelak, persatuan pengguna perlu dijadikan one-stop centre dalam menyebarkan maklumat kepenggunaan serta menzahirkan “Kuasa Pengguna” (Consumer Power). Dengan cara ini, peniaga akan lebih bertanggungjawab supaya perniagaan mereka tidak terjejas oleh publisiti buruk yang boleh menggugat kepentingan mereka. 

6. Membuat aduan mengenai manipulasi harga 

Pengguna yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti manipulasi harga oleh peniaga semasa era GST disarankan membuat aduan kepada pihak berkuasa supaya tindakan penguatkuasaan undang-undang boleh dilakukan ke atas peniaga tersebut. Langkah membuat aduan mengenai aktiviti penipuan sebegini merupakan satu tanggungjawab setiap pengguna supaya tiada peniaga yang mengambil kesempatan semasa pelaksanaan GST kelak.

7. Memanfaatkan bantuan dan inisiatif kepenggunaan yang disediakan oleh kerajaan 

Terdapat pelbagai bantuan dan inisiatif kepenggunaan yang telah disediakan oleh pihak kerajaan kepada rakyat. Contohnya seperti Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M), Kedai Rakyat 1 Malaysia (KR1M), Klinik 1 Malaysia, Bantuan Lesen 1 Malaysia (BL1M), Komputer Satu Malaysia, Bantuan Khas Awal persekolahan, Skim Amanah Rakyat 1Malaysia (SARA), Pasar Bergerak 1 Malaysia, Baucar Buku 1Malaysia (BB1M), Teksi Rakyat 1 Malaysia (TR1Ma), Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA), Program 1 AZAM, Coop 1Malaysia (Coop1M), Pakej Komunikasi Belia dan Skim Prihatin Pendidikan 1Malaysia (SPP1M). Kerajaan dijangka akan menyediakan lebih banyak bantuan tambahan untuk rakyat selepas pelaksanaan GST. Golongan rakyat yang layak menerima bantuan dan inisiatif ini adalah digalakkan untuk memanfaatkannya. 

8. Merujuk “Panduan Pembeli” yang dikeluarkan oleh pihak Kastam

Pihak Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dijangka akan menerbitkan risalah “Panduan Pembeli” tiga bulan sebelum pelaksanaan GST pada April 2015. Pengguna boleh merujuk risalah ini untuk mengetahui maklumat serta membuat perbandingan mengenai harga barang dan perkhidmatan sebelum dan semasa era GST.

Secara ringkasnya, negara sudah kesuntukan masa untuk menangguhkan pelaksanaan GST untuk kesekian kalinya. Justeru itu, GST harus direalisasikan dan semua pihak yang memahami tentang mekanisme GST haruslah mengambil tanggungjawab untuk menjelaskannya kepada masyarakat supaya pemahaman mereka tidak terpesong atau dipengaruhi oleh ideologi-ideologi songsang yang akhirnya akan merugikan negara. Ayuh kita bersatu atas nama Malaysia dan mengalu-alukan GST demi masa depan negara yang lebih gemilang. 

Tuesday 1 April 2014

BACAAN YASSIN DAN TAZKIRAH DI TAMAN BEMBAN RAYA


" Kesempurnaan Solat " merupakan tajuk tazkirah yang di sampaikan oleh Ustaz Mior Arzai Bin Haji Musa, Penyelia Bina Insan KEMAS Parlimen Batu Gajah.Penyampaian beliau yang bersahaja membuatkan semua hadirin memberikan tumpuan untuk menimba ilmu yang di sampaikan.


Bacaan Yassin pula di ketuai oleh Ustazah Khadijah Binti Nadzeri, Pemaju Masyarakat Bina Insan KEMAS Parlimen Batu Gajah.Program ini di adakan di kediaman Puan Intan Mariana Binti Abdul Manaf, iaitu peserta Kelas Bina Insan, Taman Bemban Raya.


Seramai 21 orang peserta hadir, iaitu terdiri daripada kaum-kaum ibu dan surirumah.Turut hadir dalam program ini ialah Encik Pisol Bin Mohd Isa, Pengerusi Surau Iftiqiyah, Taman Bemban Raya.Harapan peserta supaya program ini dapat di teruskan di masa-masa yang akan datang.

Program Diskusi Ilmiah telah di adakan di Taman Anjung Bemban Maju pada hari ini, 27 Mac 2014.Program ini telah di adakan di rumah Pengerusi Tabika Taman Anjung Bemban Maju, iaitu Encik Zuhairi Bin Abdullah.Program ini di mulakan kira-kira jam 2.45 petang.

                              

Pengisian Program Diskusi Ilmiah ini ialah bacaan yassin dan tazkirah.Bacaan yassin di ketuai oleh Ustazah Khadijah Binti Nadzeri, iaitu Pemaju Masyarakat Bina Insan Parlimen Batu Gajah.Manakala tazkirah pula di sampaikan oleh Ustaz Mior Arzai Bin Haji Musa, iaitu Penyelia Bina Insan Parlimen Batu Gajah.Seramai 22 orang kaum ibu hadir untuk sama-sama mengikuti program ini.



Program ini di adakan bertujuan untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim di antara pihak KEMAS dan juga masyarakat di kawasan ini.Program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada penduduk setempat di taman ini dan juga di hadiri oleh penduduk taman yang berhampiran.